Anonymous Oleh MUHAMMAD IMRAN SUHAIMI Pada mulanya, sistem pendidikan yang terdapat di Tanah Melayu hanyalah berdasarkan pengajian berkaitan agama Islam. Oleh sebab itu, telah wujudnya sekolah pondok yang membolehkan masyarakat dahulu mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam. Bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam sistem sekolah pondok ini kerana ia tidak dapat melahirkan golongan Islam yang moden disebabkan tiada penekanan terhadap pelajaran lain selain daripada pelajaran agama Islam. Sekolah Melayu telah mula ditubuhkan pada sekitar 1800-an dengan tujuan utama untuk membasmi buta huruf dalam kalangan kanak-kanak Melayu seramai yang mungkin. Justeru, tiada had umur minimum kanak-kanak yang belajar di sekolah Melayu di Perak pada ketika itu. Secara purata umur kanak-kanak ke sekolah di Perak pada tahun 1890 ialah 9.2 tahun dan tiada yang di bawah umur 6 tahun. Namun demikian, ada yang berumur 18 tahun. Pada lazimnya, di Perak, sekolah Melayu ditubuhkan apabila ada permintaan daripada penghulu mukim atau ketua kampung supaya sekolah Melayu diwujudkan. Biasanya sekolah-sekolah tersebut diwujudkan dengan syarat tidak kurang daripada 20 orang murid. Pada zaman awal pemerintahan Inggeris pula penubuhan sekolah Melayu bertujuan memberikan pelajaran kepada anak-anak Melayu menerusi bahasa ibunda mereka. Pada ketika itu, anak-anak Melayu perlu menerima pelajaran demi mencari nafkah sebagai nelayan, petani, penoreh getah, pekedai, dan yang berkaitan dengan pekerjaan kampung. Untuk mencapai tujuan ini, mata pelajaran yang diajarkan dihadkan kepada sistem 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira, termasuk ilmu asas, dan karangan. Perkembangan sekolah Melayu mencatat sejarah penting pada 1916 melalui laporan seorang pegawai pentadbir Malaya, R.O. Winstedt yang menjadi satu titik pemisahan antara zaman permulaan sekolah Melayu dengan zaman awal pemerintahan Inggeris. Beliau mengesyorkan untuk menubuhkan sebuah maktab perguruan tunggal bagi semua guru pelatih di Tanah Melayu dan merangka satu polisi mewujudkan satu sistem pelajaran yang baik bagi Sekolah Rendah Melayu, iaitu kurikulum yang berhubung rapat dengan alam keliling kanak-kanak Melayu. Setelah kedatangan penjajah iaitu Inggeris, sekolah vernakular ditubuhkan di Tanah Melayu.
|